ABU al-Quran yang diisi dalam guni dilepaskan di perairan Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan, semalam.
Nor Amalina Alias
am@hmetro.com.my


PASIR PUTEH: Sebanyak satu tan abu bahan dan teks al-Quran selamat dilupuskan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) di Perairan Tok Bali-Pulau Perhentian di sini, semalam.

Proses pelupusan itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Penerangan, Dakwah dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Proses melepaskan abu mashaf suci yang diisi dalam guni dibuat enam batu nautika dari jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tok Bali, Pasir Puteh di kedalaman 16 meter, jam 10.40 pagi, semalam.

Mohd Nassuruddin berkata, pihaknya mengambil masa 30 minit melepaskan abu kitab suci itu yang berasal daripada lima tan naskhah al-Quran yang rosak dan koyak.

“Abu al-Quran yang dilupuskan hari ini (semalam) adalah naskhah al-Quran yang dikumpul sejak awal Januari lalu yang dihantar ke masjid di Kelantan dan dibawa ke JAHEAIK untuk diurus mengikut syarak.

“Kami bakar naskhah ini di pejabat JAHEAIK untuk dijadikan abu sebelum dikumpulkan dalam guni bagi dilepaskan ke laut,” katanya ketika ditemui dalam program Pelupusan al-Quran di perairan Tok Bali di sini, semalam.


MOHD Nassuruddin Daud (tengah) membuang abu naskhah al-Quran dalam bentuk kiub.

Program pelupusan itu mendapat kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tok Bali dan Taman Laut Kuala Besut.

Mohd Nassuruddin berkata, proses pelupusan kitab suci itu dibuat secara tertib mengikut fatwa diputuskan Mesyuarat Jemaah Ulama Maik kali ke 2/2006 bagi garis panduan pembakaran buku agama mengikut al-Quran dan hadis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 7:03 AM