NORNADIAH. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Syaherah Mustafa
am@hmetro.com.my


MEMILIKI raut wajah yang manis dengan gaya penuh sopan, siapa sangka gadis berusia 25 tahun itu tangkas mengendali senjata dan menjadi antara penembak tepat.

Konstabel Nornadiah Syarah Mohd Salehuddin yang berkhidmat sebagai anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas menarik perhatian apabila menjadi peserta wanita tunggal yang menyertai pertandingan menembak, di Lapang Sasar Bukit Pak Junuh, di Rantau Panjang, semalam.

Dia yang menduduki tempat ketiga acara Falling Plate dalam Ujian Kemahiran Menembak Piala Ketua Polis Daerah (KPD)Pasir Mas 2019, mengakui sedikit gementar untuk bertanding dengan rakan sekerja yang lebih berpengalaman lebih-lebih lagi memikirkan dia peserta wanita tunggal.

“Saya baru sahaja enam bulan berkhidmat sebagai anggota polis selepas menamatkan latihan di Pusat Latihan Polis Langkawi Disember tahun lalu. Namun, Alhamdulillah bakat saya dilihat malah diberi peluang menyertai pertandingan menembak.

“Menembak memerlukan fokus dan disiplin yang tinggi kerana umum mengetahui tentang bahayanya senjata. Namun, saya bersyukur kerana bidang pekerjaan sebagai polis ini dapat mendedahkan saya tentang penggunaan senjata api dengan cara yang betul.

“Saya memang minat dengan aktiviti lasak dan mencabar, malah bersyukur dapat menjadi anggota polis yang mana ini adalah cita-cita saya sejak daripada kecil,” katanya yang juga anak ketiga daripada lima adik beradik dan berasal dari Cheras, Kuala Lumpur.

Nornadiah sebelum ini sudah menyertai beberapa pertandingan menembak selain pernah berkhidmat sebagai sukarelawan polis di IPD Dang Wangi, selama enam tahun.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Ismail Jusoh berkata, seramai lebih 100 peserta terbabit dalam pertandingan itu terdiri daripada anggota polis, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Jabatan Imigresen dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Ujian menembak diadakan sebagai memperingati Hari Polis ke-212 dan sempena bulan pembaharuan lesen senjata api selain untuk meningkatkan kemahiran menembak anggota,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 10:07 AM