SUSPEK (tengah). FOTO Ihsan PPM
Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my


LELAKI ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) ketika cuba menyeludup 235 liter minyak petrol ke negara jiran menerusi perairan Pulau Kulapuan, di Semporna, semalam.

Lelaki berusia 45 tahun yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan dipercayai suku Pala’u ditahan menerusi Op Gelora, pada 6.45 pagi.

Dalam kejadian itu, sepasukan anggota bot ronda RH45 melakukan pemantauan, sebelum mengesan sebuah perahu dalam keadaan mencurigakan di kawasan terbabit.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, siasatan awal mendapati juragan terbabit dipercayai dalam perjalanan menyeludup keluar barang kawalan berkenaan ke negara Filipina.

“Tujuh jerikin berisi minyak petrol ditemui dalam ruangan perahu.

“Suspek juga gagal menunjukkan sebarang permit atau dokumen kebenaran sah untuk membawa barang kawalan itu daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke pangkalan markas operasi PPM untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang dibaca bersama Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 9:17 AM