Pengarah JAWI, Mohd Ajib
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan menganjurkan Program Street Raya di Dataran Merdeka pada 6 Julai ini.

Pengarah JAWI Mohd Ajib Ismail berkata, ia adalah sambutan pertama seumpamanya membabitkan masjid dan surau di Wilayah Persekutuan dengan pelbagai rakan strategik seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta Restoran Ali Maju.

Menurutnya, penganjurannya ia diilhamkan menerusi konsep menghimpunkan masjid serta surau terpilih untuk menyediakan gerai jamuan masing-masing bagi menyantuni orang ramai serta mendekatkan institusi kerajaan dengan orang ramai.

“Majlis akan bermula 2 hingga 6 petang dan sebanyak 71 buah masjid dan 10 buah surau Jumaat akan mengambil bahagian termasuk dua dari Putrajaya dan satu dari Labuan.

“Inisiatif yang dilaksanakan JAWI bersama rakan strategik diharapkan akan dapat menyerlahkan peranan masjid yang bukan saja dijadikan sebagai tempat ibadat, namun ia juga berperanan dalam menyantuni dan mendekatkan masyarakat kepada masjid melalui pendekatan seperti ini,” katanya.

Mohd Ajib berkata, pelbagai menu dan juadah disediakan seperti menu utama iaitu sajian 70 ekor kambing bakar, 50,000 cucuk sate, 200 ekor ayam pusing, nasi Arab dan nasi lemak,” katanya.

“Sempena musim durian ini, kita juga bawakan dua tan raja buah serta beberapa sajian lain.

“Diharapkan orang ramai akan hadir memeriahkan majlis serta mengambil peluang bersama-sama dalam program menyantuni masyarakat serta mempromosikan Malaysia kepada pelancong luar dengan keunikan budaya dan keharmonian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 8:27 PM