Jabatan Imigresen Malaysia menahan 39 PATI di sebuah restoran di Setia Alam malam tadi.
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@mediaprima.com.my


SEBUAH restoran di Setia Alam yang menggajikan 39 pendatang asing tanpa izin (Pati) sebagai pelayan, tukang cuci dan tukang masak sejak beberapa bulan lalu diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Ops Selera malam tadi.

Serbuan oleh 16 pegawai Unit Operasi Khas (UOK) Bahagian Perisikan Operasi Khas dan Analisa, Ibu Pejabat JIM bermula 10.30 malam itu tamat tengah malam tadi.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM Mohamad Fauzi Md Isa berkata, operasi dijalankan berdasarkan aduan orang ramai dan ketika serbuan, terdapat beberapa pekerja warga asing bekerja di restoran berkenaan.

Katanya, pemeriksaan lanjut turut dijalankan di asrama disediakan restoran untuk dijadikan tempat tinggal pekerja mereka.

“Hasil pemeriksaan di restoran dan di asrama, JIM menahan 36 lelaki dan tiga wanita warga asing.

“Mereka adalah pekerja restoran itu yang bekerja secara bergilir dalam dua syif berbeza,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, warga asing yang ditahan membabitkan 12 lelaki India, sembilan lelaki Bangladesh, lapan lelaki Myanmar, lima lelaki Pakistan, dua lelaki Filipina selain dua wanita Filipina serta seorang wanita Myanmar.

“Mereka bukan saja tiada dokumen pengenalan diri sebaliknya ada yang sudah tinggal lebih masa selain menyalahgunakan pas serta melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen.

“Susulan itu juga, JIM mengeluarkan enam borang IMM.29 (Saman kepada saksi) kerana melindungi serta menggajikan PATI,” katanya.

Menurut Mohamad Fauzi, ketika serbuan dijalankan di asrama itu, beberapa warga asing berkenaan cuba melarikan diri melalui pintu belakang serta melalui tingkap bangunan namun tidak berjaya.

Katanya, kesemua warga asing berkenaan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil bagi siasatan dan tindakan susulan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“JIM mengingatkan orang ramai termasuk majikan supaya tidak melindungi Pati atau berdepan tindakan undang-undang.

“Malah, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Pati ini termasuk yang terbabit kegiatan tidak bermoral boleh menyalurkan maklumat agar tindakan penguatkuasaan dapat diambil oleh JIM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 7:13 PM