Muhammad Afiru dijatuhi hukuman penjara 54 bulan dan satu sebatan kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan bawah umur. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara 54 bulan dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 16 tahun.

Hakim Wan Azimah Yaacob membuat keputusan itu selepas tertuduh, Muhammad Afiru Afireen Razali, 27, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara meraba dan menghisap payudara mangsa berusia 16 tahun di sebuah bengkel di Chendering di Kuala Terengganu, 2 pagi pada 3 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, M Lishantini, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, mangsa yang berada di rumah ibu angkatnya di Chendering pada 1.30 pagi, 3 Mei lalu diajak tertuduh membeli makanan.

Tertuduh membawa mangsa ke sebuah bengkel di Chendering yang juga tempat kerjanya dan sebaik mangsa selesai makan, tertuduh bertindak meraba serta menghisap payudara mangsa.

Mangsa menolak kepala tertuduh menyebabkan tertuduh memegang tangan mangsa sebelum remaja itu menggigit lengan kiri sehingga tertuduh melepaskan mangsa.

Bagaimanapun, tertuduh memaut kepala mangsa sehingga remaja itu menjerit dan menangis. Mangsa berjaya keluar dari bengkel sebelum tertuduh memujuk mangsa pulang ke rumah.

Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Chendering dan tertuduh berjaya ditahan di bengkel itu, sekitar 2.30 pagi pada 5 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 6:09 PM