OSMAN (tiga kiri) menunjukkan gambar rakaman CCTV dan barangan dirampas daripada suspek. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
cnews@nstp.com.my


DUA kumpulan penjenayah aktif melakukan samun, ragut dan pecah rumah sekitar daerah Taiping tumpas dengan tertangkapnya empat suspek minggu lalu hasil dua serbuan berasingan dilakukan pihak polis.

Kumpulan pertama digelar Geng Takim dipercayai terbabit aktiviti ragut dan samun diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di Simpang, pada 6 petang 17 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, dua suspek berusia 24 dan 30 tahun dikenali sebagai Apoi dan Wahfi, diberkas.

“Kami turut merampas barangan dipercayai hasil aktiviti jenayah dilakukan suspek seperti telefon bimbit, pakaian dan sebuah motosikal Yamaha 125Z dianggarkan bernilai RM15,000.

“Kumpulan ini menjadikan wanita memandu sendirian sebagai sasaran. Suspek memecah cermin kenderaan mangsa menggunakan palam pencucuh motosikal sebelum melarikan barangan berharga,” katanya pada sidang media, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan suspek dipercayai terbabit dalam 11 kes ragut sekitar Taiping dan satu lagi di Kuala Kangsar.

Katanya, suspek mula aktif sejak awal tahun ini dan semakan dilakukan mendapati mereka memiliki beberapa rekod jenayah lampau.

“Suspek ditahan reman hingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, kami akan memohon lanjutan perintah reman bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya.

Sementara itu katanya, ahli Geng Lan Ijok yang aktif dalam aktiviti pecah rumah ditahan hasil operasi pada 17 Jun lalu.

“Ahli geng ini dikenali sebagai Lan Ijok, 40, dan Nathan, 30, ditahan di sebuah dusun durian di Ijok, Selama, pada 4 petang.

“Pemeriksaan di rumah suspek pula menemukan pelbagai barangan dipercayai hasil aktiviti pecah rumah seperti telefon bimbit, jam tangan, pelbagai barang kemas, komputer riba dan mata wang asing dianggarkan bernilai RM70,000,” katanya.

Osman berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek dipercayai terbabit 16 kes pecah rumah sekitar Taiping dan mula aktif akhir tahun lalu.

“Dua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. Sementara itu, dalam kejayaan berasingan 15 Jun lalu kami menahan lelaki berusia 31 tahun kerana dipercayai terbabit kejadian memecahkan 10 cermin kenderaan di daerah ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 2:04 PM