Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


PEJABAT Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar mengesan lokasi baru selepas empat orang lagi disahkan positif Chikungunya, menjadikan jumlah keseluruhan positif virus itu seramai 19 orang.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, empat kes baru itu adalah penduduk dan peniaga berusia antara 39 hingga 60 tahun dari Simpang Kuala.

Aduan kes di lokasi berkenaan diterima Isnin lalu dan siasatan segera dijalankan.

“PKD Kota Setar masih menjalankan siasatan bagi menentukan terdapat kemungkinan hubung kait wabak antara deretan kedai berdekatan City Plaza dan kluster Chikungunya di Simpang Kuala,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Dr Norhizan berkata, aktiviti kawalan vektor sudah dijalankan kelmarin dan akan diteruskan di Simpang Kuala yang mana sebanyak 24 premis diperiksa dan enam bekas ditemui terdapat pembiakan nyamuk.

Daripada jumlah itu, empat kompaun dikeluarkan mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) dengan nilai keseluruhan RM2,000.

“Bagi kawalan vektor di premis rumah kedai sekitar City Plaza bermula sejak Ahad lalu sehingga kelmarin, sebanyak 453 premis diperiksa dan 26 bekas ditemui terdapat pembiakan nyamuk.

“Berikutan penemuan itu, sebanyak 15 kompaun berjumlah RM7,500 dikeluarkan kepada pemilik premis yang membiak Aedes,” katanya.

Kelmarin, seramai 23 orang disyaki dijangkiti penyakit itu selepas mereka dikesan mempunyai simptom demam, sakit sendi yang teruk dan ruam.

Bagaimanapun, Dr Norhizan berkata, daripada jumlah berkenaan, 15 orang disahkan positif mengalami penyakit Chikungunya menerusi hasil ujian darah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 11:57 AM