AMBULANS terbabit. FOTO Ihsan Polis
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


EMPAT orang termasuk seorang bayi berusia sebulan cedera selepas ambulans dinaiki, hilang kawalan lalu terbabas ke pembahagi jalan dan melanggar pokok di Lebuh Ayer Keroh, Alor Gajah, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, ambulans terbabit dalam perjalanan pulang dari Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur ke Hospital Melaka dan baru sahaja keluar dari Lebuhraya Utara Selatan melalui Plaza Tol Ayer Keroh.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, siasatan awal mendapati, sebaik kenderaan terbabit tiba di Lebuh Ayer Keroh berhampiran stesen minyak Petronas, ambulans berkenaan hilang kawalan lalu terbabas ke kanan dan menaiki pembahagi tengah jalan lalu melanggar pokok.

"Semua mangsa dihantar ke Hospital Melaka. Bayi berkenaan di rawat di zon merah, manakala pemandu ambulans Idzhar Daud, 35, yang mengalami kecederaan pada bahagian kaki berada di zon hijau.

“Seorang pegawai perubatan Nishi Samed, 30, serta seorang jururawat S Poonasniwary, 37, yang turut cedera dirawat di zon kuning,” katanya ketika dihubungi.

Hasan berkata, ambulans terbabit kemudian dialihkan dari lokasi kemalangan dan dibawa untuk pemeriksaan Jabatan Kerja Raya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 10:11 AM