Mohd Firdaus (kanan) bantu mengangkat pelajar yang cedera selepas terbabit dalam kemalangan di di hadapan Maahad Dini Sultan Abdul Halim, Alor Setar. Foto Ihsan FB ADUN Kuah
Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


WALAUPUN perlu bergegas ke Wisma Darul Aman, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi & Multimedia, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kedah Mohd Firdaus Ahmad sempat membantu seorang pelajar lelaki yang cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Suka Menanti di Alor Setar, hari ini.

Mohd Firdaus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah melalui lokasi kemalangan di hadapan Maahad Dini Sultan Abdul Halim itu pada 2.30 petang ketika dalam perjalanan dari Keriang Hill Resort ke Wisma Darul Aman.

Bagaimanapun, beliau kemudiannya memberhentikan kenderaannya dan turun membantu pelajar cedera itu.

“Saya dalam perjalanan menghadiri satu program di Wisma Darul Aman sebelum terserempak dengan kemalangan membabitkan pelajar yang penunggang motosikal dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

“Pelajar itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah oleh jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau turut memuat naik status kemalangan itu di akaun Facebook YB ADUN Kuah/Exco Negeri Kedah.

Dalam status sama, Mohd Firdaus turut menasihati pengguna jalan raya supaya berhati-hati ketika memandu terutama pada waktu hujan bagi mengelakkan kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 10:14 PM