Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


SEORANG inspektor dan empat anggota polis direman lima hari bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima suapan daripada seorang lelaki dalam kejadian Mac lalu.

Perintah reman bermula hari ini hingga Sabtu ini dikeluarkan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim, terhadap semua lima suspek lelaki berusia 25 hingga 50 tahun itu.

Semua suspek yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Kelima-lima mereka iaitu inspektor dan masing- masing dua konstabel dan koperal tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Melaka pada 11.15 pagi sebelum keluar pada 12.45 tengah hari dengan diiringi pegawai SPRM.

Difahamkan, suapan bernilai kira-kira RM6,000 itu diambil sebagai dorongan untuk tidak dikenakan tindakan atas kesalahan memiliki air ketum daripada seorang lelaki berusia 30-an pada Mac lalu.

Kelima-lima mereka ditahan selepas memberi keterangan di Pejabat SPRM Alai, antara 5 petang hingga 11 malam tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman semua suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 9:54 PM
ANGGOTA SPRM mengiringi seorang pegawai dan empat anggota polis yang direman atas dakwaan kes rasuah ketika dibawa di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh, hari ini. FOTO Rasul Azli Samad.