Ekstasi dan Eramin 5 yang dirampas dalam operasi Ahad lalu. FOTO Zain Ahmed
Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my


HARGA pil Eramin 5 yang dijual sehingga RM100 sebiji di pusat hiburan di Indonesia mendorong pengedar dadah di negara ini nekad mencari jalan menyeludup keluar bahan terlarang itu.

Bagaimanapun ia berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) menerusi Ops Pintasan 5.30 petang Ahad lalu.

Difahamkan selain Eramin 5 yang dijual 10 kali ganda berbanding harga jualan di Malaysia, pil ekstasi turut dijual pada harga tinggi dipercayai melebihi RM200 sebiji disebabkan permintaan dan kekurangan bekalan dadah itu di negara itu.

Penguatkuasaan berterusan menyebabkan pengedar kini cuba mencari jalan baru di sekitar Gelang Patah namun masih menemui kegagalan apabila pihak berkuasa sering kali mematahkan cubaan mereka hasil maklumat penduduk selain kerjasama agensi kerajaan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam kejadian Ahad lalu, PPM Wilayah Dua Tampoi berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar 10,820 pil ekstasi dan Eramin 5 bernilai RM249,600 dalam serbuan di perairan Pulau Merambang, Tanjung Kupang berhampiran Linkedua di sini.

Menurutnya, dalam kejadian 5.30 petang itu, PPM Wilayah Dua menjalankan Ops Pintasan di kawasan berhampiran sebelum mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan menuju ke negara jiran.

“Pasukan PPM mengambil masa 15 minit untuk mengejar bot yang dipandu suspek lelaki dan sebaik sedar dirinya dikejar, suspek memecut laju bot dinaikinya.

“Suspek lingkungan 30-an itu kemudian mencampak satu karung guni ke kawasan paya bakau sebelum meloloskan diri ke perairan antarabangsa.

“Melihat keadaan itu, kami tidak mengejarnya kerana berada di luar perairan negara sebaliknya mengambil karung guni berkenaan untuk menyiasat isi yang cuba diseludup lelaki menggunakan bot tempatan itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri hari ini.

Dzulkhairi berkata, pemeriksaan ke atas karung guni itu membawa kepada penemuan 5,820 pil ekstasi dan 5,000 pil eramin 5 bernilai RM249,600.

Menurutnya, hasil siasatan awal pihaknya percaya suspek cuba menyeludup keluar dadah itu ke beberapa pulau di negara jiran terutama Pulau Karimun dan Tanjung Balai.

“Hasil siasatan mendapati kedua-dua jenis dadah itu mendapat permintaan tinggi di negara jiran dan dijual pada harga lebih tinggi dari harga pasaran tempatan.

“Kami masih menyiasat dari mana dadah itu diperolehi, tidak menolak kemungkinan ada makmal atau dibawa ke sini dari tempat lain.

“Semuanya masih dalam siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 9:53 PM