Mohd Zohdi (tengah) melakukan semburan aerosol di premis Jalan Tunku Ibrahim. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


MAJLIS Bandaraya Alor Setar (MBAS) akan melakukan pemantauan berterusan di kawasan premis rumah kedai di Jalan Tunku Ibrahim, Alor Setar bagi memastikan ia bebas daripada tempat pembiakan nyamuk.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mohd Zohdi Saad berkata, pemeriksaan berterusan itu akan dilakukan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar supaya kejadian wabak Chikungunya tidak berulang.

“Ia termasuklah memeriksa premis rumah kedai yang ditinggalkan dan rumah burung walet kerana kita tidak mahu wabak Chikungunya berulang.

“Saya difahamkan 10 premis sudah dikenakan kompaun oleh PKD kelmarin, jadi kita mengharapkan kerjasama penduduk bersama-sama menjaga kebersihan dan melakukan kawalan sendiri,” katanya ketika ditemui selepas meninjau premis kedai di Jalan Tunku Ibrahim hari ini.

Kira-kira 50 kakitangan MBAS dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) menyertai tinjauan dan pemeriksaan yang turut dihadiri Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai.

Ketika tinjauan itu, Mohd Zohdi bersama Ming Kai melakukan semburan aerosol di premis rumah kedai termasuk menyerahkan dua botol semburan berkenaan kepada peniaga di situ.

Semalam, Pengarah JKN Kedah, Dato Dr Norhizan Ismail berkata, 23 orang dari premis rumah kedai Jalan Tunku Ibrahim dijangkiti penyakit itu sehingga jam 5 petang kelmarin.

Penularan wabak itu dikesan selepas mereka mempunyai simptom demam, sakit sendi yang teruk dan ruam.

Katanya, daripada jumlah berkenaan, 15 orang disahkan positif mengalami penyakit Chikungunya menerusi hasil ujian darah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 9:23 PM