MANGSA maut selepas kepalanya tersepit pada tingkap jengkaut dikendalikannya dalam kejadian di sawah padi di Bukit Chawi, Kampung Gajah, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


SEORANG lelaki maut selepas kepalanya tersepit pada tingkap jengkaut dikendalikannya dalam kejadian di sawah padi di Bukit Chawi, Kampung Gajah, hari ini.

Dalam kejadian 10.15 pagi itu, Mohamad Redzuan Abdullah, 27, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Difahamkan, mangsa yang juga operator jentera berkenaan tersepit selepas diserang sawan ketika sedang berkerja.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, polis yang menerima maklumat mengenai kejadian ke lokasi dan mendapati jentera berkenaan berada kira-kira 100 meter dari jalan ban.

“Mangsa yang duduk di kabin bahagian pemandu ditemui dalam keadaan kepala terkeluar di tingkap sebelah kanan dan tersepit pada jengkaut berkenaan.

“Kejadian itu menyebabkan bahagian kanan kepala mangsa pecah dan hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat sebelum dituntut waris untuk urusan pengebumian.

Menurutnya, kejadian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 9:13 PM