Dr Zulkifli
Idris Musa
idris@hmetro.com.my


MUFTI Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menegaskan Brazilian wax dengan cara aurat terdedah khususnya membabitkan pembuangan bulu ari-ari dan dilihat orang lain adalah haram.

“Adapun Brazilian wax yang membabitkan pembuangan bulu di betis, lengan atau dada, maka ia adalah harus sekiranya yang melakukannya adalah staf sama jantina,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi ruangan Irsyad Al-Fatwa berkaitan hukum Brazilian Wax di spa bagi bakal pengantin yang dimuat naik di laman web rasminya, semalam.

Brazilian Wax atau Bro-Zillian dan Boy-Zillian membawa maksud suatu rawatan kosmetik membabitkan pembuangan bulu ari-ari lelaki secara sepenuhnya melalui proses disebut ‘waxing’ (pelilinan).

Waxing diertikan kaedah penanggalan bulu separa kekal yang mencabut keluar bulu badan dari akarnya dengan menggunakan bahan berasaskan lilin (wax) lalu bahagian itu kekal dogol selama beberapa minggu.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, melihat kepada suasana masa kini, proses Brazilian wax ini menjadi suatu perkhidmatan yang dikenakan bayaran kepada mereka yang ingin melakukannya.

Justeru katanya, secara tidak langsung ia membabitkan dua pihak atau dua individu iaitu pelanggan dan staf yang menjalankan proses berkenaan.

Menurutnya, persoalan Brazilian wax dengan tujuan membuang bulu ari-ari membabitkan dua isu, iaitu aurat dan khalwat.

Katanya, haram hukumnya bagi seorang lelaki melihat aurat lelaki lain, begitu juga ada larangan bagi seorang perempuan melihat aurat perempuan lain.

“Sekiranya staf adalah seorang lelaki dan pelanggannya lelaki atau stafnya perempuan dan pelanggannya perempuan, maka sudah pasti akan berlakunya pendedahan aurat dan ini adalah dilarang.

“Maka, lebih utama akan pengharaman hal ini apabila proses berkenaan membabitkan staf dan pelanggan yang berlainan jantina.

“Tambahan pula sekiranya ia dilakukan di dalam bilik khas yang hanya menempatkan staf dan pelanggannya secara berdua. Hal ini adalah perkara yang dilarang di sisi syarak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 8:34 PM