PASUKAN bola sepak Akademi Tunas Bandar Tun Razak (ATBTR). FOTO Ihsan Pembaca.
Khairul Najib Asarulah Khan
khairul.najib@nstp.com.my


PASUKAN bola sepak Akademi Tunas Bandar Tun Razak (ATBTR) bawah 10 tahun berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM16,820 bagi membantu kanak-kanak warganegara Myanmar, Mohamad Yasin Mohammed Rafique menderita penyakit kepala besar atau hydrocephalus.

Idea mengumpul dana dicetuskan Reyess Shaqeel Emir Ghanalingam, 10, salah seorang pemain pasukan berkenaan.

Jurulatih ATBTR, Ahmad Izzudin Ahmad berkata, Reyess Shaqeel mengetahui kisah Mohamad Yasin berusia tiga tahun melalui ibu bapanya yang aktif bersama badan kebajikan Yayasan Chow Kit.

Katanya, Reyess Shaqeel mengajak rakan sepasukan membantu Mohamad Yasin menerusi jaringan gol semasa perlawanan kejohanan Peninsula Green Cup 2019 di Pusat Bola Sepak KLFA, Sabtu lalu.

“Alhamdulillah, ramai yang menyumbang dengan nilai yang besar. Secara keseluruhannya sebanyak RM16,820 berjaya dikumpulkan.

“Jumlah itu dapat menampung kos pembedahan berjumlah RM11,500 yang diperlukan Mohamad Yasin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Izzudin berkata, usaha murni Reyess Shaqeel bersama rakannya amat menyentuh perasan ramai pihak disebabkan usia mereka yang masih muda.

“Apa yang penting sifat keprihatinan dan ingin membantu itu perlu dicontohi kanak-kanak yang lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 8:33 PM