FOTO hiasan
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


POLIS Seri Alam melakukan sekatan jalan raya 24 jam di dua lokasi keluar masuk ke kawasan Pasir Gudang bagi memastikan tiada pengurusan kilang cuba membawa keluar sisa toksik ketika kilang mereka diperiksa pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, sekatan jalan raya itu dilakukan sejak Jumaat lalu namun sehingga kini tiada aktiviti mencurigakan dikesan.

“Susulan insiden ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat sekatan jalan raya di Pasir Gudang dan sekitarnya bagi memastikan tidak berlaku aktiviti membawa keluar sisa toksik secara runcit oleh industri.

“Sekatan jalan raya ini dibuat di dua kawasan berhampiran susur keluar dari Pasir Gudang dan ia 24 jam.

“Ia hanya sebagai langkah berjaga-jaga jika ada kemungkinan industri membawa keluar secara runcit sisa toksik sebelum pihak berkuasa memeriksa premis mereka,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) hari ini.

Menurutnya, sepanjang sekatan jalan raya dijalankan setakat ini pihaknya tidak menerima laporan aktiviti itu (membawa keluar sisa toksik).

“Berikutan itu, kami berharap pengguna memberikan kerjasama kepada anggota dan pegawai yang menjalankan tugas,” katanya.

Sejak insiden pencemaran udara berlaku di Sekolah Agama Taman Mawar Khamis lalu, sembilan orang berusia antara lapan hingga 17 tahun mendapatkan rawatan di wad Hospital Sultan Ismail (HSI).

Bermula semalam, 111 sekolah rendah dan menengah, tiga institusi pendidikan tinggi, 14 sekolah swasta dan antarabangsa serta 347 tadika swasta yang berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) diarahkan tutup hingga Khamis ini.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 8:21 PM