Ibu kandung kepada (dari kiri) Kevin, bayi tidak bernama dan Amanda dicari JKM bagi membantu penempatan mereka. Foto Ihsan JKM
Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) mohon kerjasama orang ramai bagi membantu mengesan dua wanita Indonesia yang meninggalkan bayi mereka di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Klang (PKMDK) dalam kenyataannya berkata, seorang bayi perempuan berusia dua bulan bernama Amanda Imani ditinggalkan ibu kandungnya yang juga warga Indonesia yang dikenali sebagai Mastura Ali di HTAR sejak April lalu ketika mendapatkan rawatan susulan.

“Sepanjang bayi berkenaan berada di hospital, tiada keluarga atau waris datang melawat dan bayi terbabit kini ditempatkan sementara di Rumah Kanak-Kanak (RKK) Kuala Kangsar.

“Selain itu, seorang wanita Indonesia dikenali sebagai Sutiem dengan nombor dokumen AR173857 diminta tampil bagi menguruskan penempatan anak lelakinya berusia empat bulan yang masih tidak dinamakan selepas dilahirkan pada 11 Februari lalu,” katanya.

Menurut JKM, Sutiem dipercayai meninggalkan bayinya itu di HTAR selepas sebulan dilahirkan dan menghilangkan diri tanpa sebarang khabar berita.

Sementara itu, PKMDK juga sedang mengesan seorang wanita Russia dipercayai ibu kandung kepada remaja lelaki berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Kevin Kumar.

“Kevin dengan nombor kad pengenalan 061112-10-1551 dibawa ke PKMDK pada 25 Februari lalu oleh penjaganya yang memaklumkan memelihara remaja itu sejak kecil.

“Bapa Kevin sudah meninggal dunia, manakala ibu kandungnya dipercayai wanita Russia terbabit sudah menghilangkan diri sejak remaja itu berusia empat tahun,” katanya.

Orang ramai yang mengenali ibu kandung atau waris dua bayi dan seorang remaja itu diminta menghubungi Pegawai Pelindung Kanak-Kanak Daerah Klang di talian 03-33413703.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 8:16 PM