Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


SEBUAH premis memproses sisa toksik di kawasan perindustrian Pasir Gudang diarahkan melupuskan sisa toksik mereka serta-merta bagi memastikan udara di kawasan Pasir Gudang selamat daripada terus tercemar.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah memeriksa 30 premis berisiko tinggi dan satu premis memproses sisa toksik diarahkan membuat pelupusan sisa toksik serta-merta.

“Sekarang kita tumpu pada kerja melupuskan sisa toksik dari sebuah kilang memproses sisa toksik.

“Mereka sudah mula melupuskannya hari ini dan akan bersambung esok.

“Premis ini adalah satu daripada 30 kilang yang difokuskan dalam siasatan setakat ini.

“Bagaimanapun, sama ada sisa toksik yang diarahkan dilupuskan itu ada kaitan dengan pencemaran ini, kita masih dalam siasatan, apa yang pasti ia tiada kaitan dengan pencemaran Sungai Kim Kim.

“Kita juga akan terus memantau dan memastikan kualiti udara dalam keadaan baik ketika pergerakan membawa keluar sisa toksik dilakukan oleh pengusaha kilang dan ia dikawal dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) hari ini.

Mohd Khuzzan berkata, sampel sisa toksik sudah diambil untuk dianalisa dan sebaik kerja pelupusan dan keputusan diterima, kerajaan akan mengumumkan punca sebenar insiden pencemaran itu.

Menurutnya, JAS akan melaksanakan operasi bersepadu bersama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan MPPG bagi memastikan 250 premis lain yang dikenal pasti mengendalikan bahan berbahaya, mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Bagi mengelak insiden sama berulang, tindakan tegas termasuk menahan operasi akan dikenakan kepada industri yang didapati melanggar SOP yang digariskan kerajaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Khuzzan berkata, sehingga 12 tengah hari tadi, tiada pesakit baru dimasukkan ke wad dan jumlah itu menjadikan keseluruhan mangsa yang pernah mendapatkan rawatan di wad adalah sembilan orang berusia antara lapan hingga 17 tahun.

“Semua mangsa adalah pelajar dan hanya empat mangsa masih mendapatkan rawatan di wad Hospital Sultan Ismail (HSI) manakala selebihnya sudah dibenarkan pulang.

“Perkembangan positif ini adalah hasil keputusan kerajaan menutup 111 sekolah rendah dan menengah, tiga institusi pendidikan tinggi, 14 sekolah swasta serta antarabangsa serta 347 tadika swasta yang berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) mulai hari ini hingga Khamis.

“Penutupan ini adalah signifikan memandangkan dari hari pertama kejadian, mangsa yang terbabit terdiri daripada pelajar sekolah dan kanak-kanak sekitar Pasir Gudang,” katanya.

Beliau berkata, pemantauan kualiti udara masih dijalankan seperti biasa bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melalui pasukan Unit Pengurusan Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) masih memantau tahap kualiti udara menggunakan alat penganalisis gas (GASMET) dalam radius pengesanan enam kilometer (km) hingga 15 km,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 7:17 PM
Penguat kuasa JAS melakukan pemeriksaan bacaan kualiti udara di sekitar Pasir Gudang. FOTO Mohd Azren Jamaludin