Maarof (lima dari kiri) ketika melawat Balai Berita Bangsar hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Idris Musa
idris@hmetro.com.my


PENGAMAL media yang membuat liputan mengenai undang-undang berkaitan adat di Negeri Sembilan perlu mempunyai pengetahuan mantap ketika menyiarkan laporan berita.

Undang Luak Jelebu Pembesar Memerintah bagi Negeri Sembilan, Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman, Datuk Maarof Mat Rashad berkata, kesedaran dan kefahaman wartawan mengenai kewujudan undang-undang itu penting bagi membantu mereka menjalankan tugas.

“Lebih-lebih lagi apabila sesuatu pemberitaan itu membabitkan Raja dan Pembesar Memerintah bagi Negeri Sembilan.

“Wartawan, jurugambar, pengarang dan ketua pengarang harus celik undang-undang yang berkaitan sebelum menyiarkan sesuatu berita itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencemar kaus mengadakan lawatan kerja ke Media Prima Berhad di Balai Berita di Kuala Lumpur semalam.

Turut mencemar kaus, Tok Puan Mahawa Mohd Som serta Datuk Lembaga Delapan Luak Jelebu, Orang Besar Undang Luak Jelebu dan waris negeri.

Turut hadir Pengarang Kumpulan Harian Metro Tuan Asri Tuan Hussein serta Pengarang Kumpulan NST Rashid Yusof.

Maarof berkata, semakan pihaknya baru-baru ini mendapati sesetengah pihak masih tidak tahu perihal Pembesar Memerintah bagi Negeri Sembilan.

Katanya, lebih memburukkan keadaan ada yang tidak peka Perlembagaan Persekutuan, terutama peruntukan dalam Perkara 71 (2), Perkara 160, Perkara 181, Undang-undang Tubuh Negeri, Akta Tafsiran 1948 dan 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 6:58 PM