FOTO Hiasan
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


SEORANG buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini terhadap dua tuduhan merogol kekasihnya berusia 15 tahun, tahun lalu.

Tertuduh Muhamad Yuzairi Mohd Rusdi, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan pertama tertuduh didakwa merogol mangsa di sebuah pondok di Lata Kertas Dabong, Kuala Krai pada Mei 2018.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol mangsa sama di batu tepi Sungai Dabong, Kuala Krai pada bulan sama tahun itu.

Kedua-dua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum sepuluh tahun dan maksimum tiga puluh tahun dan sebat.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nuzul Azuar Zulkifli.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 23 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 6:36 PM