FARIHAH (dua kiri) menyampaikan replika cek Faedah Pengurusan Mayat Suriyani (kanan). FOTO Zaid Salim.
Zaid Salim
am@hmetro.com.my


ORANG kurang upaya (OKU) bisu yang juga ibu kepada dua anak hanya mampu mengukir senyuman selepas menerima cek Faedah Pengurusan Mayat (FPM) daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebanyak RM2,000 hari ini.

Meskipun tidak dapat menzahirkan dengan kata-kata, riak wajah Suriyani Jusoh, 47, jelas menggambarkannya dia masih terkesan dengan pemergian mengejut suami, Mahadi Jusoh, 39, Ramadan lalu.

Selain cek FPM, Suriyani dan dua anaknya Muhammad Hafizudin,12, dan Abdul Hamid, 4, menerima pencen penakat sebanyak RM800 sebulan setiap seorang.

Mahadi yang juga OKU bisu bekerja di kilang plastik di kawasan perindustrian Bukit Kor, Marang, meninggal dunia di dalam tidur di rumahnya di Kampung Titian Baru, Kuala Terengganu, 15 Mei lalu.

Menceritakan detik pemergian arwah menantunya, ibu Suriyani, Minah Hassan, 70, berkata, pada malam sebelum kejadian, Mahadi mengadu sakit dada dan meminta isterinya menyapukan ubat hingga terlena.

Katanya, melihat arwah lena di atas kerusi, Suriyani mengambil keputusan menemani suaminya tidur di ruang ramu hingga keesokan paginya.

“Suriyani hanya menyedari Mahadi sudah meninggal dunia pada pagi berkenaan. Terdahulu majikan Mahadi, menghubungi adiknya untuk melihat arwah yang sepatutnya memulakan tugas pada 8.30 pagi,” katanya.

Dia berkata, demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Cek Faedah Pengurusan Mayat di rumahnya di Kampung Tok Pong, Kedai Buloh, Kuala Terengganu.

Sementara itu, Pengarah PERKESO Terengganu Farihah Che Husin berkata, arwah yang bekerja sejak 30 tahun lalu memenuhi syarat untuk menerima faedah disediakan PERKESO.

“Isteri arwah menerima pencen penakat setiap bulan seumur hidup. Sementara itu dua anaknya menerima pencen dengan jumlah sama sehingga berusia 21 tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 5:17 PM