GAMBAR Hiasan
Zuliaty Zulkiffl
am@hmetro.com.my


MALANG buat seorang pesara guru apabila mengalami kerugian RM73,000 akibat diperdaya sindiket penipuan Macau Scam, bulan lalu.

Wanita berusia 73 tahun menetap di Bedong, Sungai Petani itu menerima panggilan daripada seorang lelaki menyamar sebagai anggota polis dari Kota Kinabalu, Sabah pada 16 Mei lalu iaitu pada tarikh sambutan Hari Guru.

Lelaki itu mendakwa mangsa terbabit dengan aktiviti penggubahan wang haram berdasarkan satu laporan polis dan meminta mangsa memindahkan kesemua wang miliknya ke akaun lain.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kedah, Superintendan Annuar Amri Abd Muluf berkata, mangsa kemudian ke sebuah bank di Sungai Petani dan memindahkan wang miliknya ke akaun diberikan diberikan suspek.

Beliau berkata, pemindahan wang kali pertama membabitkan jumlah RM63,000 dan kali keduanya RM10,000 pada 3 petang hari sama.

“Mangsa menyedari ditipu selepas gagal menghubungi pemanggil berkenaan dan talian dimatikan pada keesokannya harinya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Jamuan Hari Raya JSJK di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, hari ini.

Annuar Amri berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada 19 Jun lalu.

Hasil siasatan awal pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa diperdaya sindiket Macau Scam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Bermula Januari hingga hari ini, sebanyak 51 kes penipuan panggilan Macau Scam dilaporkan di Kedah.

“Kerugian setakat ini berjumlah RM1.1 juta dan laporan paling diterima daripada pengadu sekitar Alor Setar dengan 15 kes,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 3:31 PM