PENDUDUK sekitar Teluk Kumbar mengambil bekalan air di Sungai yang terletak di Tanjung Asam. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.
Zuhainy Zulkiffli
am@metro.com.my


BEBERAPA penduduk dilihat berulang alik ke sungai berhampiran Tanjung Asam, Baik Pulau, dengan membawa botol serta baldi bagi mengisi air untuk disimpan di rumah masing-masing.

Itu antara inisiatif penduduk bagi menyimpan air susulan gangguan bekalan selepas paip utama di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, pecah 5.30 petang semalam.

Penduduk, Hafizul Hifdzam Kamal, 43, berkata, walaupun bekalan air dijangka pulih kira-kira jam 3 petang, namun mereka tetap mengambil langkah menyimpan air.

Katanya, penduduk juga tidak mempunyai pilihan lain dan menggunakan air sungai berkenaan yang masih belum tercemar.

“Air paip perlahan sejak malam tadi dan saya fikirkan ia tidak serius sehinggalah rakan memberitahu menerusi (aplikasi) WhatsApp mengenai kejadian paip utama pecah.

“Sejak pagi tadi saya sudah mengisi air sungai ke dalam beberapa baldi di rumah dan alternatif itu lebih baik kerana kita sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, pengendali kedai makan yang mahu dikenali sebagai Catherine, 40, berkata, dia dan suami serta adik iparnya bergilir-gilir mengangkut air dari sungai berkenaan sejak pagi tadi.

Katanya, air sungai terbabit digunakan bagi mencuci pinggan mangkuk sebelum dibilas sekali lagi menggunakan air bersih.

“Saya mengusahakan kedai makan bersama suami, air di kedai terlalu perlahan dan kami ambil keputusan untuk berniaga bermula tengahari sehingga jam 4 petang sahaja berbanding tengah malam setiap hari.

“Apa boleh buat, kita pun tidak jangka ini berlaku, mujurlah sungai di sini terpelihara serta tidak tercemar, boleh juga digunakan bagi cucian,” katanya lagi.

Menerusi kenyataan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) pagi tari, bekalan air kepada 200,000 pengguna air di Seberang Prai Tengah, Seberang Prai Selatan dan selatan Pulau Pinang itu dijangka pulih secara berperingkat mulai jam 3 petang hari ini.

Kerja pembaikan bawah tanah sudah dijalankan sejak jam 1 pagi tadi membabitkan saluran paip 1100 milimeter (mm) termasuk pemotongan, kimpalan dan palam semula saluran paip bagi memastikan ia kalis air.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 3:11 PM