RAKAMAN CCTV kejadian samun di sebuah kedai serbaneka 24 jam. FOTO Ihsan Pembaca.
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


PEKERJA kedai serbaneka 24 jam di Desa Setapak, berdepan detik cemas apabila disamun seorang lelaki dipercayai bersenjatakan pisau, Sabtu lalu.

Dalam kejadian 11.18 pagi, mangsa sedang mengemas ruangan kaunter kedai serbaneka berkenaan dihampiri suspek menyamar sebagai pelanggan.

Sumber berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) suspek dilihat memasuki premis dan ke bahagian belakang kedai serbaneka kononnya untuk mencari barang mahu dibeli.

“Suspek kemudian menghampiri pekerja terbabit lalu mengeluarkan pisau disembunyikan dalam baju dan mengarahkan mangsa supaya menyerahkan wang dalam peti simpanan.

“Mangsa yang ketakutan mengeluarkan wang seperti diarah suspek. Malah, suspek dilihat mengambil beberapa kotak rokok yang diletakkan berhampiran kaunter sebelum beredar,” katanya ketika dihubungi semalam.

Video dirakam CCTV berdurasi 48 saat membabitkan kejadian itu turut tular di media sosial sejak semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Rajab Ahad Ismail ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian.

“Siasatan lanjut berhubung kes itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun menggunakan senjata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 2:26 PM