MANGSA terpaksa menahan sakit lebih 15 minit apabila kaki kirinya tersepit pada pedal basikal dalam kejadian di Taman Bukit Subang, Sungai Buloh, malam ini. FOTO ihsan bomba.
Hafidzul Hilmi Noor
hafidzul@hmetro.com.my


KANAK-KANAK lelaki menahan sakit lebih 15 minit apabila kaki kirinya tersepit pada pedal basikal dalam kejadian di Taman Bukit Subang, Sungai Buloh, malam ini.

Dalam kejadian 7 malam itu, mangsa berusia 11 tahun dibantu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 7.01 malam.

“Satu jentera dengan kekuatan enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi, anggota penyelamat bertindak mengeluarkan kaki kanak-kanak terbabit.

“Kami menggunakan peralatan khas untuk merenggangkan pedal pengayuh dan besi pada rangka basikal sebelum mengeluarkan kaki mangsa,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kanak-kanak itu hanya cedera ringan dengan kesan bengkak di buku lali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 11:02 PM