Rafidah Mat Ruzki
am@hmetro.com.my


SELEPAS kira-kira empat tahun pengusaha kilang memproses bahan buangan plastik dipercayai beroperasi tanpa kebenaran Majlis Perbandaran Klang (MPK), ia tidak lagi mampu meneruskan operasi selepas bekalan elektrik ke premis berkenaan dipotong, hari ini.

Tindakan pertama kali dilakukan terhadap premis kilang memproses bahan buangan plastik yang beroperasi secara haram di Klang itu mendapat kerjasama Suruhanjaya Tenaga dan syarikat utiliti Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ia susulan tindakan MPK minggu lalu memohon kelulusan suruhanjaya itu untuk memotong bekalan elektrik bagi mengelakkan operasi sedemikian diteruskan, walaupun sudah menerima notis sita daripada PBT berkenaan.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelesenan MPK, Fharulisa Md Isa, berkata pihaknya sudah lima kali melakukan operasi dan mengambil tindakan termasuk menyita premis berkenaan yang terletak di Kawasan Perindustrian Air Hitam, Pelabuhan Klang, selain menasihat pengusahanya.

Beliau berkata, operasi terakhir dilakukan di premis berkenaan pada Rabu minggu lalu, namun pengusahanya masih ingkar dan berdegil selain meneruskan operasinya sehingga diserbu hari ini.

“Ketika serbuan, kilang masih beroperasi namun pekerjanya yang dipercayai pendatang asing tanpa izin melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Sebenarnya ada enam kilang memproses bahan buangan plastik beroperasi di kawasan ini, tetapi kilang lain sudah menghentikan operasi selepas diserbu, kecuali kilang ini.

“Hari ini, kami mendapat kerjasama daripada pihak TNB memotong bekalan elektrik di kilang yang beroperasi tanpa lesen perniagaan sah ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Fharulisa sebelum itu mengetuai operasi bersama TNB ke kilang berkenaan yang turut disertai pihak media.

Beliau berkata, selepas bekalan elektrik dipotong, kilang berkenaan tidak lagi dapat beroperasi dan pihaknya sudah memulakan tindakan untuk mendakwa pengusaha di mahkamah.

Selain itu, katanya, pihaknya akan meminta bantuan daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) untuk memotong bekalan air di premis terbabit.

Sementara itu, dalam tinjauan di premis berkenaan mendapati bungkusan beg plastik besar berisi bahan buangan plastik belum dan sudah diproses ditempatkan di dalam dan sekitar kawasan kilang itu.

Selain bungkusan plastik itu, terdapat beberapa mesin dipercayai digunakan untuk mengisar bahan buangan plastik dari negara luar termasuk Jepun untuk menjadi kepingan kecil.

Pada masa sama, kilang berkenaan berbau busuk yang dipercayai berpunca daripada lima kolam berisi air berwarna coklat kehitaman di bahagian belakang premis.

Turut dibina di bahagian belakang kilang berkenaan adalah rumah kongsi dipercayai didiami pekerjanya, dilengkapi dengan katil bujang dan dapur serta perkakasan elektrik termasuk peti sejuk dan periuk nasi elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 10:52 PM
FHARULISA (dua dari kiri) menunjukkan sisa plastik ketika operasi pemotongan bekalan elektrik sebuah kilang memproses bahan buangan plastik yang secara haram di Kawasan Perindustrian Air Hitam, Pelabuhan Klang, hari ini. FOTO Faiz Anuar.