YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan membuat gimik pelepasan peserta Eksplorasi Gunung Syue di Dewan Serbaguna Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ihsan Jurugambar Istana Negara.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan meraikan 22 peserta program Eksplorasi Gunung Syue, Taiwan 2019 di Dewan Serbaguna Istana Negara di Kuala Lumpur, hari ini.

Peserta program anjuran Kelab Media Pahang dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang akan berangkat ke Taipei, Taiwan pagi esok.

Peserta program membabitkan 16 wartawan dan jurugambar mewakili pelbagai agensi media yang berkhidmat di Kuantan, Pahang dan Kuala Lumpur.

Enam lagi pendaki mewakili pegawai kanan JBPM.

Antara turut serta ialah Pengarah Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin; Pengarah JBPM Pahang, Nor Hisham Mohamad; Presiden Kelab Media Pahang, Datuk Nik Naizi Husin, wartawan serta jurugambar Harian Metro Pahang, Mohamad Azim Fitri Abd Aziz dan Zulkepli Osman.

Program diketuai wartawan TV3, Ahmad Fazli Ahmad dijangka mendaki Gunung Syue atau Snow Mountain, pada ketinggian 3,886 meter dari paras laut selama empat hari mulai Rabu ini.

Pada majlis itu Al-Sultan Abdullah turut perkenan menyerah Jalur Gemilang, bendera Pahang dan bendera JBPM untuk dibawa hingga ke puncak.

Kelab Media Pahang mula aktif dalam sukan mendaki sejak 2014 dan sudah menganjurkan Program mendaki di beberapa gunung di dalam dan luar negara.

Antara gunung pernah didaki Gunung Fansifan, Vietnam; Gunung Kerinchi, Indonesia; Gunung Pulag, Filipina; Kem Pangkalan Annpurna (ABC), Nepal; dan Gunung Daik, Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 10:39 PM