FOTO Hiasan
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


KES panggilan palsu yang diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah meningkat sehingga 10 kes tahun ini.

Ia dipercayai dilakukan individu yang membuat panggilan berkenaan sekadar untuk suka-suka.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Penyelamat dan Kebombaan JBPM Kedah Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, kes panggilan palsu itu semuanya membabitkan kebakaran namun anggotanya tetap ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan.

Beliau berkata, ia bukan saja menyusahkan anggotanya yang bergegas ke lokasi namun turut menyusahkan semua pihak.

“Sepanjang tahun lalu, kami menerima 26 kes berkaitan panggilan palsu manakala antara Januari hingga Mei lalu, panggilan palsu mencatatkan sebanyak 22 kes.

“Sepanjang tempoh itu, kes panggilan palsu yang diterima meningkat iaitu Januari (empat) berbanding tiga kes tahun lalu, Februari (empat) berbanding tiga kes tahun lalu, Mac (lima) berbanding empat kes tahun lalu, April (lima) berbanding sifar kes tahun lalu dan Mei (lima) berbanding satu kes tahun lalu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di JBPM Suka Menanti, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, kes paling banyak diterima adalah Sungai Petani dan Alor Setar.

Beliau berkata, terdapat satu kes di Sungai Petani apabila seorang individu datang ke balai untuk memaklumkan kes kebakaran di satu lokasi dan anggotanya ke kawasan itu untuk operasi penyelamatan.

“Sebaik tiba di situ, tiada kes seperti yang dimaklumkan pengadu manakala lelaki itu pula menghilangkan diri sejurus selepas itu.

“Biasanya perbuatan seperti ini dilakukan remaja atau kanak-kanak, hanya sekadar suka-suka. Kami berharap ibu bapa memantau kegiatan anak masing-masing daripada menyusahkan semua pihak,” katanya.

Sementara itu, kes kebakaran di negeri ini pula meningkat sejak Januari hingga Jun iaitu 2,499 kes berbanding sepanjang tahun lalu yang mencatatkan hanya 2,494 kes.

Beliau berkata, peningkatan sebanyak 919 kes itu amat ketara pada Januari hingga Mac lalu disebabkan cuaca panas.

“Pada Januari lalu, sebanyak 381 kes dicatatkan manakala Februari 785 kes dan Mac pula 897 kes manakala April pula menurun kepada 231 kes, Mei 118 kes dan Jun 87 kes,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 5:50 PM