Gambar Hiasan
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@mediaprima.com.my


GENG ‘Amy Keju’ yang aktif melakukan jenayah termasuk rompakan kedai emas, pecah rumah dan samun sekitar Lembah Klang tumpas selepas ketuanya bersama 16 ahlinya ditahan semalam.

Amy Keju yang berusia 32 tahun ditahan bersama adik lelakinya yang juga ahli kumpulan berkenaan di sebuah pusat hiburan di Sungai Besi semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, kumpulan itu antara penjenayah paling dikehendaki dan polis yakin berjaya menyelesaikan beberapa kes jenayah susulan penahanan suspek serta ahli kumpulannya.

Katanya, polis kini masih memburu baki ahli kumpulan itu yang dianggarkan keseluruhannya 45 orang.

“Kumpulan ini sangat dikehendaki polis kerana terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah dan ahlinya terdiri daripada bekas banduan dan pusat pemulihan yang ada rekod jenayah lampau.

“Amy Keju juga memang dikehendaki polis kerana terbabit dua pertuduhan jenayah di mahkamah namun tidak hadir,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata, kumpulan itu menjalankan kegiatan jenayah secara terancang dan susulan itu mereka dikategorikan sebagai sangat berbahaya.

Katanya, terbaru kumpulan itu melakukan rompakan di sebuah kedai emas di Rawang.

“Buat masa ini, kumpulan itu dikesan melakukan tiga rompakan kedai emas secara berkumpulan serta beberapa kegiatan samun dan pecah rumah.

“Kumpulan ini sangat dikehendaki polis dan kita percaya jika tidak dibanteras, mereka akan menjadi antara kumpulan penjenayah paling berbahaya di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 5:47 PM