FOTO Hiasan
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


PADAH suka-suka mengintai perempuan di dalam tandas sebuah wisma di Damansara, minggu lalu, pekerja perabot didenda maksimum RM100 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Majistret Nurshahira Abdul Salim menjatuhkan hukuman itu kepada Syaaban Shamil Khairi, 22, selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, dia didapati berkelakuan aib dengan mengintai mangsa berusia 27 tahun di dalam tandas di Wisma BU 8, Damansara, Petaling Jaya pada 19 Jun lalu, 3 petang.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 akta kesalahan-kesalahan kecil 1955 yang memperuntukkan denda maksimum RM100.

Terdahulu, dia yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah tindakannya itu adalah kerana suka-suka mahu mengintai orang.

“Saya memang suka hendak buat (mengintai). Lagipun, tiada tanda tunjukkan itu tandas perempuan,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin kemudian memohon supaya hukuman setimpal diberikan kepada tertuduh.

Mengikut fakta kes, pengadu masuk ke tandas dan ternampak tangan pada lantai.

Dia kemudian ternampak bayang seorang lelaki yang berada di dalam tandas sebelah dan cuba mengejar, namun gagal.

Pengadu kemudiannya pergi ke pejabat pengurusan untuk membuat aduan sebelum meminta melihat rakaman kamera litar tertutup dan mendapati lelaki itu cuba mengintainya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 5:19 PM