GAMBAR hiasan
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


TINDAKAN bapa tiri mendera anak tirinya yang berusia lima tahun dengan menampar mangsa sehingga terjatuh di tangga dan kepala terhantuk ke dinding mendapat balasan apabila didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang bekerja sebagai kerani selepas dia mengaku bersalah apabila pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan, jika dia gagal membayar denda.

Tertuduh yang memakai seluar dan baju hitam itu tenang di dalam kandang tertuduh sepanjang prosiding dan kelihatan di tempat duduk galeri awam, isterinya yang sedang hamil.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mendera kanak-kanak lelaki itu sehingga menyebabkan kecederaan, cedera benjol, bengkak dan lebam di kepala dan merah kepala sebelah kiri dan pada bahagian mata kiri mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan 10 pagi dan 12 tengah malam, 17 Februari lalu di Apartment Desa Tasik Fasa 6B, Jalan 2A /146.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Muhammad Amin Abdullah yang mewakili tertuduh, memohon hukuman ringan kerana itu kesalahan pertama anak guamnya serta insaf atas kesalahan dilakukan.

“Tertuduh marah kepada mangsa selepas adiknya berusia setahun jatuh.

“Anak guam saya adalah penanggung tunggal dan isterinya yang sedang hamil sudah berhenti kerja kerana tekanan di tempat kerja,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan memohon mahkamah mempertimbangkan kesalahan itu berlaku kepada anak tiri tertuduh sendiri dan bukan orang lain.

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian, ibu mangsa berada di bilik air terdengar anaknya berusia setahun menangis sebelum melihat suaminya memarahi kanak-kanak itu dan menolak mangsa ke dinding kerana tidak menjaga adiknya.

Mangsa bermain berhampiran tangga sementara menunggu lif dan tertuduh sekali lagi memarahi mangsa serta bertindak menamparnya.

Kejadian itu menyebabkan mangsa jatuh di tangga dan kepalanya terhentak dinding.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Ampang dan doktor yang merawat kanak-kanak itu membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 5:18 PM