CHRISTINA (tengah) menyaksikan pertukaran MoU antara Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga (dua dari kanan) dengan Ketua Pegawai Eksekutif SAPSARI Arizona, Peter Chan (dua dari kiri). FOTO Khairull Azry Bidin.
Oleh Avila Geraldine
avila@nst.com.my


KERAJAAN Sabah akan mewujudkan santuari bagi menempatkan spesis hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di Taman Negara Bukit Tawau, hujung tahun ini.

Santuari untuk hidupan liar seperti tenggiling itu akan dibina menggunakan dana RM1juta disumbangkan Institut Kajian dan Santuari Tenggiling (SAPSARI) Arizona, Amerika Syarikat.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, beliau sudah meminta Pengarah Taman-Taman Sabah dan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah untuk mengenal pasti lokasi sesuai.

Katanya, taman berkeluasan 20,000 hektar itu amat sesuai untuk dijadikan santuari hidupan liar berkenaan.

“Santuari ini akan dibuka kepada orang awam apabila semua proses selesai, mungkin siap menjelang hujung tahun ini. Selain itu, kami juga akan menubuhkan pusat kajian tenggiling di situ.

“Pusat ini penting untuk mendidik orang awam berhubung pengetahuan mengenai tenggiling. Haiwan ini tidak boleh diburu dan dibunuh atas apa pun alasan termasuklah untuk tujuan perubatan,” katanya.

Beliau berkata, demikian pada Sidang Media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Sabah dan SAPSARI Arizona, di Kota Kinabalu, hari ini.

Christina berkata, penubuhan santuari itu sudah dibentangkan dan dipersetujui Kabinet Negeri Sabah dan pihaknya akan membantu daripada segi teknikal seperti menyediakan doktor pakar serta pasukan penyelamat.

“Ini adalah salah satu usaha kerajaan untuk terus memerangi aktiviti perdagangan, pemburuan dan pembunuhan tenggiling.

“Kematian Badak Sumbu Sumatera jantan terakhir baru-baru ini menyebabkan kementerian mengambil langkah awal dengan mewujudkan pelan tindakan akan dilancarkan dalam masa terdekat bagi melindungi spesis hidupan liar di Sabah,” katanya.

Sementara itu, Pengasas SAPSARI Arizona, Peter Chan berkata, sebagai permulaan mereka akan menyumbangkan RM1 juta bagi mewujudkan santuari tenggiling berkenaan.

Katanya, program membabitkan kerjasama sektor awam dan swasta ini dijangka memerlukan kos mencecah RM4.5 juta.

“Usaha mewujudkan santuari ini akan meletakkan Sabah berada di hadapan dalam mendidik masyarakat dunia mengenai konservasi tenggiling yang menjadi hidupan liar paling banyak diburu dan dibunuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 4:47 PM