FOTO Hiasan
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


JURUJUAL lelaki berusia 28 tahun maut selepas terbabit pergaduhan dengan 11 individu berpunca salah faham yang bermula di sebuah pusat hiburan di Jalan Dato Abdullah Tahir, Taman Abad, Johor Bahru petang semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kejadian itu mengakibatkan mangsa meninggal dunia di rumahnya di Taman Perling di sini 2.30 petang semalam akibat kecederaan di kepala.

Katanya, satu kejadian pergaduhan dilaporkan berlaku di lokasi itu membabitkan sekumpulan lelaki pada 2.30 pagi.

“Bertindak atas maklumat, pasukan Polis Johor menahan 10 lelaki dan seorang wanita untuk siasatan berhubung kes itu.

“Hasil siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku akibat salah faham yang bermula di sebuah pusat hiburan sehingga berlarutan ke luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa meninggal dunia di rumahnya di Taman Perling pada 2.30 petang hari sama.

Katanya, proses bedah siasat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) hari ini mendapati ia disahkan berpunca akibat ‘blunt injury to the head’.

Katanya, semua suspek berusia lingkungan 18 hingga 26 tahun kini direman sehingga 30 Jun ini bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 3:39 PM