GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Skuad Khas Harian Metro
am@hmetro.com.my


BEKAS Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi difahamkan meninggalkan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, 12.30 tengah hari tadi selepas selesai memberikan keterangan.

Sumber memberitahu, Ahmad Zahid menjawab pelbagai soalan berkaitan dakwaan penerimaan wang sogokan untuk kegunaan peribadi daripada sebuah syarikat swasta yang diberi hak eksklusif mengendalikan kemasukan pelancong China ke negara ini.

Katanya, Ahmad Zahid sedang disiasat mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

“Selain Ahmad Zahid, pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) juga akan didakwa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Skuad Khas Harian Metro dimaklumkan, SPRM tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes berkenaan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kenderaan jenis Toyota Vellfire membawa Presiden UMNO dilihat memasuki Ibu Pejabat SPRM pada 9.30 pagi walaupun beliau dijadual memberi keterangan pada jam 10.30 pagi.

Untuk rekod, penyelewengan membabitkan syarikat terbabit mula didedahkan Harian Metro melalui laporan eksklusif bertajuk ‘Beruk Boleh Mohon’ pada 14 November 2018 yang mana wartawan akhbar ini ke Guangzhou China bagi melihat operasi dilakukan syarikat terbabit.

Laporan itu mendedahkan, sejak eNTRI diperkenalkan pada Mac 2016 hingga September 2018, UKSB sudah mengutip lebih RMB329,337,280 (RM198,066,952) membabitkan kelulusan permohonan kepada 2,058,358 orang.

Namun, tapisan keselamatan dilakukan amat lemah sehinggakan kelulusan diberikan kepada seekor beruk yang diberikan identiti palsu.

Untuk rekod, UKSB juga diberi hak memungut fi iaitu RMB160 atau RM100 untuk satu permohonan tanpa sedikitpun menjadi hasil kerajaan. Susulan pendedahan itu, SPRM pada 15 September 2018 mendedahkan, siasatan sedang dilakukan pihaknya berkaitan penyelewengan berkenaan.

Pada hari sama, Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM mengesahkan lapan kakitangan UKSB disiasat bersama pegawai JIM dan ahli politik selepas siri serbuan menemui ‘buku faraid’ iaitu rekod pembayaran wang sogokan kepada semua pihak.

Untuk rekod, SPRM juga mengesahkan merampas wang tunai bernilai ratusan ribu ringgit selain menyita aset seperti rumah dipercayai hasil penyelewengan berkenaan.

Siasatan juga mendapati, UKSB melantik syarikat rakan di China sebelum membuka satu pejabat di Hong Kong.

"Duit kutipan hasil pengurusan visa itu dilarikan ke sana. Hanya 10 peratus sahaja dibawa pulang ke Malaysia. Di situ sahaja, kerajaan sudah kehilangan kutipan cukai," kata sumber yang dekat dengan siasatan berkenaan.

Berita berkaitan

Zahid Hamidi dipanggil SPRM

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 3:18 PM