Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


SINDIKET judi atas talian Indonesia yang menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat operasi mereka tumpas selepas diserbu polis tengah malam Sabtu lalu.

Difahamkan, sindiket judi negara jiran itu menjadikan negara ini terutama Pulau Pinang sebagai pusat khidmat panggilan mereka bagi mengelak operasi mereka dikesan pihak berkuasa republik itu dan sudah beroperasi antara tiga bulan hingga setahun.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran berkata, dalam serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota polis dari kontinjen Pulau Pinang itu, pihaknya berjaya memberkas 16 individu termasuk lima wanita warga Indonesia berusia antara 19 hingga 47.

Beliau berkata, hasil risikan yang dilakukan, sindiket ini menguruskan urusan perjudian atas talian membabitkan pemain dari Indonesia dan menguruskan jumlah pertaruhan antara RM15,000 hingga RM60,000 sehari.

“Dalam serbuan itu, polis menyerbu sebuah unit Kondominium One Imperial dan merampas beberapa peralatan digunakan bagi tujuan perjudian.

“Susulan serbuan pertama, polis kemudian menggeledah tiga unit berasingan di Kondominium Imperial Residences di Bayan Lepas sebelum merampas pelbagai lagi peralatan digunakan sindiket,” katanya.

Menurutnya, dalam empat serbuan berasingan itu, polis merampas 26 komputer, 29 telefon bimbit pelbagai jenama, 27 token peralatan perbankan atas talian dan satu komputer riba.

Narenasagaran berkata, polis percaya keempat-empat premis ini dijadikan lokasi menguruskan segala aktiviti perjudian mensasarkan pelanggan di Indonesia dan satu laman web khas juga diwujudkan bagi tujuan itu serta ia diperoleh dari Myanmar.

“Sindiket ini juga aktif mempromosikan aktiviti perjudian atas talian mereka menerusi laman sembang seperti WeChat dan WhatssApp secara rawak mensasarkan warga Indonesia,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Menurutnya, pusat operasi ini juga bertanggungjawab menguruskan transaksi keluar masuk wang secara atas talian bagi aktiviti perjudian membabitkan bank di Indonesia.

Beliau berkata, kesemua suspek yang diberkas adalah operator panggilan yang bekerja 12 jam sehari dan pertaruhan yang dianjurkan sindiket adalah jenis poker, loteri dan lain-lain.

Katanya, kes disiasat mengikut Sekyen 4(1) (c) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 1:32 PM
PERALATAN yang dirampas dalam serbuan kes judi atas talian warga asing di kawasan Barat Daya di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Georgetown. FOTO Ramdzan Masiam