Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melancarkan video pendidikan seks untuk kanak-kanak melalui medium digital Youtube sebagai usaha bagi menangani isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Lima video berdurasi satu minit setiap satu itu ditayangkan sebelum video kegemaran kanak-kanak seperti lagu kanak-kanak, siri kartun, mengenali huruf dan warna serta sebagainya, dalam bentuk iklan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, video berkenaan adalah kerjasama KPWKM bersama pertubuhan bukan kerajaan, Malaysia Against Pornography selain kerjasama dengan pihak Google.

Menurutnya, pihaknya mensasarkan video pendidikan seks ‘safe touch’ (sentuhan selamat) dan ‘bad touch’ (sentuhan jahat) itu ditonton kira-kira 150,000 kanak-kanak di negara ini serta ditayangkan bermula hari ini di Youtube.

“KPWKM mengambil langkah kreatif untuk menyampaikan dan menyebar luas video pendidikan seks ini kepada kanak-kanak supaya ia mencapai matlamat kementerian bagi mengurangkan kes jenayah seksual kanak-kanak di Malaysia.


TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika merasmikan Kempen Kesedaran Pendidikan Seks dalam kalangan kanak-kanak melalui media sosial Youtube di Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Putrajaya, turut kelihatan, Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Hannah Yeoh dan Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr Rose Lena Lazemi. FOTO Mohd Fadli Hamzah

“Pendekatan intervensi sedia ada yang fokus kepada kumpulan sasar akan tetap diteruskan dan ditambah baik. Pendekatan kreatif melalui video Youtube untuk memastikan mesej ini dapat disampaikan lebih meluas melangkaui kumpulan sasar KPWKM,” katanya pada sidang media pelancaran video di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kanak-kanak perlu mengetahui dan diajar mengenai ‘safe touch’ (sentuhan selamat) dan ‘bad touch’ (sentuhan jahat) seawal mungkin.

“Pengetahuan dan kesedaran yang disampaikan melalui video ini adalah perkara asas kanak-kanak perlu tahu untuk mengelak diri daripada menjadi mangsa dan membantu mereka mengenal pasti tingkah laku mencurigakan yang sepatutnya dilaporkan.

“Kami mensasarkan video ini ditonton 150,000 kanak-kanak. Lebih-lebih lagi selepas mengambil kira kemungkinan pelaku kesalahan seksual adalah dalam kalangan ahli keluarga atau kenalan yang dikenali rapat.

“Justeru, kita berharap kanak-kanak akan dapat mengenal pasti sebarang petanda atau tingkah laku mencurigakan seawal mungkin dan melaporkannya segera,” katanya.

Beliau berkata, Talian Kasih 15999 dan Talian Kecemasan 999 adalah talian yang disediakan oleh kerajaan bagi membantu ibu bapa dan masyarakat membuat laporan.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata, kebanyakan ibu bapa membenarkan anak mereka melayari Youtube bukan untuk hiburan semata-mata malah, ia turut menjadi sumber pendidikan interaktif.

Bagaimanapun katanya, ibu bapa seharusnya memantau waktu melayari internet anak mereka dan KPWKM mencadangkan sebaik-baiknya akses terhad kepada internet sehingga kanak-kanak berusia dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 12:20 PM