FOTO Hiasan
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


SERAMAI sembilan lagi disyaki menghidap penyakit Chikungunya menjadikan jumlah keseluruhan seramai 23 orang dijangkiti penyakit itu setakat jam 5 petang semalam.

Penularan wabak itu dikesan selepas mereka mempunyai simptom demam, sakit sendi yang teruk dan ruam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, daripada jumlah berkenaan, 15 orang disahkan positif mengalami penyakit Chikungunya menerusi hasil ujian darah.

Perkembangan berkenaan diperoleh hasil ujian makmal disahkan JKN negeri ia adalah wabak Chikungunya yang didapati berlaku di deretan rumah kedai di Jalan Tunku Ibrahim berhampiran City Plaza, di Alor Setar.

“Aktiviti kawalan vektor sudah dijalankan di premis terbabit.

“Sebanyak 342 premis sudah diperiksa, 16 daripadanya didapati positif kawasan pembiakan nyamuk selain 1,355 bekas air bertakung juga diperiksa.

“Pada masa sama, sebanyak 10 premis sudah dikenakan kompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP 1975) kerana menjadi tempat pembiakan nyamuk,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Dr Norhizan berkata, selain itu, aktiviti semburan berkabus turut dijalankan sekitar 200 meter dari kawasan terbabit.

Semalam, Harian Metro melaporkan seramai 14 orang daripada deretan rumah kedai terbabit disyaki menghidap demam Chikungunya apabila mengalami simptom demam berkenaan.

Siasatan awal mendapati gejala itu bermula pada 9 Jun lalu dengan kebanyakan mereka mendapat rawatan pesakit luar di klinik swasta sekitar Alor Setar dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 11:59 AM