FOTO Hiasan
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


KERAJAAN Kedah meminta orang ramai agar tidak panik dengan penularan demam Chikungunya yang melanda di sekitar kawasan Alor Setar kerana aktiviti pencegahan dan kawalan sedang giat dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan negeri, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, Jabatan Kesihatan menerusi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar sudah mengambil tindakan segera termasuk memberi pendidikan dengan berjumpa dengan penduduk di kawasan berkenaan.

“Saya mahu pesan kepada masyarakat apabila perkara ini tular kelmarin, ia seolah-olah memberi petanda Chikungunya ini seperti satu penyakit yang ganjil tapi sebenarnya tiada apa yang ganjil kerana penyakit ini disebarkan cara sama daripada nyamuk Aedes cuma virusnya adalah Chikungunya.

“Saya sendiri sudah turun padang dan meninjau sekitar 200 meter daripada kawasan bangunan rumah kedai Jalan Tunku Ibrahim sehingga Jalan Langgar, memang terdapat premis tinggal yang menyebabkan berlaku takungan air selain terdapat empat buah rumah burung di sekitar sini,” katanya ketika ditemui selepas meninjau sekitar bangunan di kawasan terbabit di Alor Setar, hari ini.

Dr Ismail berkata, pihaknya akan mendapatkan kebenaran daripada Pengerusi Wabak Daerah iaitu Pegawai Daerah untuk memasuki dan meninjau rumah burung terbabit bagi memastikan tiada takungan air di dalamnya.

Dalam masa yang sama, pihaknya turut akan menyiasat punca virus itu tersebar yang dipercayai ia dibawa dari kawasan lain.

“Mungkin ada yang bawa balik virus ni dari luar sama ada dia melawat negara lain atau sebagainya, kita akan siasat di mana dia pergi sebelum ini.

“Dalam masa yang sama, pihak PKD juga akan luaskan kawasan tinjauan sehingga 400 meter berbanding 200 meter, semalam,” katanya.

Semalam, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail mengesahkan seramai 14 pesakit yang tinggal di rumah kedai berhampiran bangunan City Plaza dikesan menghidap Chikungunya selepas mempunyai tanda-tanda demam, sakit sendi yang teruk dan ruam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 9:02 AM