LAPORAN Harian Metro sebelum ini
Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@bh.com.my


JABATAN Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) sudah mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah dan pengetua sebuah sekolah di Setiu menghantar laporan penuh berhubung insiden buli yang kini tular di Facebook.

Pengarahnya Shafruddin Ali Hussin berkata, pihaknya mahu laporan penuh diserahkan segera berikutan banyak teori mengenai kes buli membabitkan pelajar tingkatan empat dan dua sebuah sekolah di Setiu itu.

Katanya, kejadian berlaku ketika waktu rehat pada sesi sekolah ganti sempena cuti Aidilfitri, semalam.

Beliau berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis jika mahu menjalankan siasatan, bagaimanapun ibu bapa pelajar mangsa buli itu belum membuat laporan sehingga kini.

“Ibu bapa tidak buat laporan polis lagi. Kita minta PPD dan pengetua hantar laporan awal pada kita dan kita akan minta kerjasama polis untuk selesaikan kes ini.

“Jika polis ingin teruskan siasatan, JPNT tiada halangan kerana kes ini bergantung kepada ibu bapa sama ada mahu membuat laporan polis atau tidak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shafruddin berkata, berdasarkan siasatan awal pelajar tingkatan empat itu memasuki kelas pelajar tingkatan dua berkenaan sebelum memukulnya sambil disaksikan beberapa pelajar lain, namun motif sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Berita berkaitan:

Tendang, tumbuk selepas ejek

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 9:46 PM