Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


PENDUDUK sekitar Kampung Pasir Putih belum membaik pulih kubur dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab di Tanah Perkuburan Islam As-Syakirin Pasir Putih, Bachang, Melaka, Jumaat lalu.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Sarang Helang Bachang, Nasran Mehat berkata, setakat ini tiada kerja pembersihan, baik pulih mahupun kerja mengalihkan batu nisan yang pecah dibuat kerana polis masih menjalankan siasatan.

“Polis ada memberi arahan supaya tidak menyentuh dan membersihkan bahan binaan dirosakkan kerana siasatan masih dijalankan.

“Malah jam 10 pagi tadi, sepasukan polis kelihatan berada di kubur menjalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun katanya, penduduk kampung tetap ke tanah perkuburan itu untuk menziarah kubur saudara mara mereka.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di tanah perkuburan itu kira-kira jam 4 petang mendapati, hanya beberapa batu nisan yang dicabut, dipacak semula namun nisan yang dipecahkan masih belum diganti.

Pesara kerajaan, Yusof Wahid, 63, bersyukur apabila mendapati pusara ibu, ayah dan neneknya masih elok dan tidak terkesan dengan kejadian itu.

“Sebaik membaca akhbar pagi tadi, hati kecil saya terusik sama ada kubur ibu, bapa serta nenek moyang turut rosak. Alhamdulillah, pusara mereka tidak terjejas kecuali kubur nenek seperti dicabut nisan, namun sudah dibetulkan.

“Walaupun hanya kubur, saya tetap berasa marah terhadap mereka yang melakukannya,” katanya.

Bagi pengawal keselamatan, Zamri Baba, 33, dia mengandaikan pelaku mempunyai dendam.

“Saya tidak tahu apa motifnya tapi mungkin dia (pelaku) berdendam, tidak dapat balas pada orang yang hidup, kubur dirosakkan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, siasatan di lokasi kejadian adalah prosedur biasa.

“Setakat ini, belum ada tangkapan dibuat dan kami masih giat melakukan siasatan,” katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 6:15 PM
ANTARA kubur dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab di Tanah Perkuburan Islam As-Syakirin Pasir Putih, Bachang. FOTO KHAIRUNISAH LOKMAN