KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Guar Chempedak-Yan berdekatan Teroi yang tular. FOTO IHSAN PEMBACA
Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my


TINDAKAN remaja lelaki berusia 14 tahun menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya menyebabkan sebuah pikap dan kereta bertembung di Jalan Guar Chempedak-Yan berdekatan Teroi, Jumaat lalu.

Dalam kejadian 7 malam, rakaman video aksi mengangkat tayar hadapan motosikal atau ‘wheelie’ yang dilakukan remaja itu turut tular di media sosial.

Difahamkan, kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggangi remaja dikatakan terbabas lalu memasuki laluan bertentangan.

Kejadian ini menyebabkan kedua-duanya bertembung dan pada masa sama pemandu pikap cuba mengelak daripada menggilis mangsa sehingga hilang kawalan.

Akibatnya, pikap berkenaan terbalik sebelum melanggar sebuah lagi kereta dari arah bertentangan

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, penunggang motosikal cedera di kaki kiri manakala pemandu kedua-kedua kenderaan tidak mengalami kecederaan.

Kemalangan turut mengakibatkan pikap jenis Mitsubishi Triton dan kereta Nissan Almera remuk teruk.

Shahnaz berkata, siasatan mendapati keadaan permukaan jalan dalam keadaan baik manakala aliran trafik sederhana sibuk.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 5:18 PM