GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


JABATAN Kesihatan Kedah sudah menghantar sampel membabitkan 14 pesakit disyaki menghidap Chikungunya untuk ujian makmal.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, siasatan dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar sebaik ia tular di media sosial.

Menurutnya, siasatan awal mendapati 14 pesakit yang dikesan di sekitar rumah kedai berusia lingkungan antara 35 hingga 50 tahun mempunyai tanda-tanda sejarah demam, sakit sendi yang teruk dan ruam.

“Gejala awal bermula pada 9 Jun lalu di mana kebanyakan mereka mendapat rawatan pesakit luar di klinik swasta sekitar Alor Setar dan keadaan mereka semua stabil.

“Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar tidak menerima sebarang notifikasi kes berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Norhizan berkata, siasatan awal berdasarkan tanda dan gejala berkenaan mengesyaki mereka berkemungkinan menghidap penyakit Chikungunya.

“Bagaimanapun jabatan ini tidak menolak kemungkinan penyakit lain.

“Sehubungan itu, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk menghantar sampel untuk ujian makmal di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh,” katanya.

Beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah sedang menjalankan tindakan pencegahan dan kawalan.

“Orang ramai yang mempunyai gejala demam dan sakit sendi terutama penduduk di kawasan Jalan Tunku Ibrahim sekitar City Plaza dinasihatkan untukmendapatkan rawatan lanjut di fasiliti kesihatan yang berdekatan.

“Maklumat lanjutperkembangan kejadian ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, dan orang ramai dinasihatkan untuk mengelak membuat spekulasi mengenai kejadian ini,” katanya.

Menurut Dr Norhizan, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah meminta semua pihak terutama masyarakat setempat dalam tindakan pencegahan untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes demi mencegah jangkitan Chikungunya, Denggi dan Zika.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 8:23 AM