KEADAAN rumah Che Su yang ditimpa pokok kekabu di Kampung Pulau Tengah, Mukim Pinang Tunggal. FOTO Ihsan APM
Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my


“SEJURUS selesai solat Zohor, saya dengar bunyi runtuhan kuat di luar, saya tidak menyangka pokok kekabu di sebelah kediaman sudah menimpa rumah,” kata Che Su Samsudin, 45, dari Kampung Pulau Tengah, Mukim Pinang Tunggal di Sungai Petani.

Dalam kejadian 2.30 petang, rumah pusaka yang didiami ibu tunggal bersama anaknya dan seorang kakak antara dua rumah yang mengalami kerosakan akibat angin kencang yang melanda kampung itu tengah hari ini.

Che Su berkata, ketika kejadian berlaku, dia dan anaknya sedang solat Zohor di sebuah bilik di rumah itu.

Katanya, ketika sedang solat, dia mendengar pergerakan angin perlahan di luar rumah sebelum secara tiba-tiba ia bertukar deras.

“Sebelum itu cuaca di luar agak mendung dengan tiupan angin sederhana, namun ketika saya sedang solat, tiba-tiba angin bertukar sangat deras dalam masa kira-kira lebih lima minit sebelum mendengar bunyi runtuhan yang kuat.

“Bila saya keluar dari bilik, saya lihat pokok kekabu sudah berada di ruang tamu rumah,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, pihaknya menerima 11 laporan berkaitan pokok tumbang membabitkan tiga kerosakan rumah penduduk.

Azahar berkata, antara kawasan terbabit adalah Pinang Tunggal, Merbok, Taman Delima, dan Tikam Batu.

Bagaimanapun, katanya, kejadian tidak membabitkan kecederaan dan tiada pusat pemindahan dibuka.

“Dua kumpulan membabitkan 13 anggota ditugaskan bagi kerja pemotongan dan pembersihan pokok tumbang di sekitar daerah ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 11:45 PM