Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my


TERLALU sayangkan pasangan hingga sanggup merakam aksi ranjang masing-masing menjadi trend terkini pasangan kekasih hingga mereka akhirnya terperangkap apabila mahu memutuskan hubungan.

Walaupun belum membabitkan kes peras ugut wang, pasangan yang mahu ditinggalkan biasanya memberi amaran akan memuat naik video mereka ke media sosial menyebabkan mangsa terpaksa akur dan terus bersama walaupun tidak lagi sehaluan.

Ketua Biro Aduan MCA Johor, Michael Tay Chee Boon berkata, walaupun hanya menerima empat aduan sejak Januari 2018 hingga awal Jun lalu, dia yakin kes itu banyak berlaku namun mangsa enggan tampil kerana malu.

Katanya, semua mangsa yang membuat aduan terdiri daripada wanita 20-an hingga awal 30-an daripada pelbagai latar belakang sama ada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan kakitangan swasta.

“Dalam satu kes, seorang penuntut berusia 23 tahun di ibu kota terpaksa melarikan diri dan tidak menamatkan pengajian apabila mendakwa kekasihnya, salah seorang pensyarah mahu meneruskan hubungan walaupun mereka tidak serasi dan sering bergaduh.

“Mangsa mengaku pada mulanya menjalin hubungan kerana mahu mendapatkan gred tinggi, tetapi mula menyayangi kekasihnya itu dan sanggup merakam hubungan seks yang dilakukan.

“Malangnya, apabila mahu memutuskan hubungan selepas mendapati mereka sering bertengkar kekasihnya enggan dan mengatakan akan memuat naik video mereka ke laman sosial,” katanya ketika ditemui, di Johor Bahru, hari ini.

Menurutnya, pada mulanya mangsa akur dan mengikut kehendak teman lelakinya itu, namun mengambil keputusan melarikan diri tanpa menamatkan pengajian.

Katanya, dalam satu kes lain membabitkan sepasang penuntut IPT, mangsa yang juga perempuan meminta bantuannya memadamkan video seks selepas teman lelakinya itu mahu berkongsi dengan rakan lain.

“Mereka sebenarnya pasangan kekasih yang serius dan mahu mendirikan rumahtangga, namun disebabkan teman lelakinya sering memujuk mahu menunjukkan aksi mereka kepada rakan sekelas, mangsa merasakan malu dan mahu memutuskan hubungan.

“Pada mulanya teman lelakinya itu memujuk dan merayu, apabila masih tidak bersetuju barulah bertengkar sebelum mangsa tampil ke pejabat menceritakan masalahnya.

“Akhirnya kami mengadakan pertemuan dan rakan saya yang juga pakar perisian komputer dan telefon bimbit memadamkan video berkenaan. Akhirnya pasangan itu berpisah dan wanita berkenaan menyambung pengajian di kolej lain,” katanya.

Dua kes lain, katanya, membabitkan profesional syarikat swasta dan berjaya diselesaikan selepas perbincangan dibuat pelbagai pihak.

“Pada masa sama, saya berharap orang ramai tidak mudah terpedaya dengan rayuan teman masing-masing untuk merakam aksi mereka kerana ia hanya akan memalukan diri sendiri.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menolak penularan trend ini termasuk dalam kalangan pemimpin politik di mana seorang menteri didakwa terbabit dalam skandal seks, baru-baru ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 3:44 PM