LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Poliana Ronnie Sidom
am@hmetro.com.my


POLIS Sabah akan berhubung dengan pasukan keselamatan Filipina untuk berbincang jika ada keperluan membawa pulang sembilan mangsa culik yang diselamatkan di kepulauan Jolo, selatan Filipina, malam tadi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, sembilan kru bot nelayan itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan polis masih membuat siasatan lanjut berhubung kesahihan kerakyatan mereka.

Katanya, sembilan daripada 10 mangsa yang diculik itu diselamatkan selepas terserempak dengan pasukan keselamatan Filipina ketika berjalan kaki di satu lokasi di kepulauan itu, kira-kira 10 malam tadi.

“Mereka dipercayai dibebaskan kumpulan penculik kerana tiada wang (untuk bayar tebusan). Kita akan bincang dengan kerajaan Filipina jika ada keperluan membawa mereka pulang (ke Sabah).

“Mereka tiada dokumen dan mungkin berasal dari sana (Filipina), namun mungkin ada juga yang mendakwa lahir di Semporna. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi dari Sandakan, hari ini.

Ditanya mengenai perkembangan seorang lagi mangsa culik, Omar berkata, pihaknya masih menunggu laporan daripada pasukan keselamatan Filipina dan setakat ini, polis belum dapat mengenal pasti identiti mangsa.

Katanya, pihaknya akan berhubung dengan enam nelayan yang terselamat dalam kejadian penculikan, Isnin lalu untuk mendapatkan maklumat mengenai mangsa yang diculik.

“Seorang lagi tidak ditemui dan kita belum tahu (identiti dan apa yang berlaku). Kita akan hubungi mangsa yang selamat untuk dapatkan maklumat,” katanya.

Dalam kejadian Isnin lalu, seramai 10 kru bot nelayan dilarikan kumpulan penjenayah rentas sempadan di kawasan perairan Tambisan, Lahad Datu, kira-kira 2 pagi.

Mangsa yang disahkan bukan warga tempatan itu dikatakan menaiki dua bot bersama enam lagi kru sebelum didatangi kumpulan penjenayah yang kemudian melarikan mereka menggunakan bot laju ke arah perairan Tawi-Tawi, selatan Filipina.

Enam kru dilaporkan diselamatkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Berita berkaitan

Nelayan diculik diselamatkan

'Hilang suami dan anak kerana diculik'

Bot 'langgar' sempadan perairan Malaysia, Filipina

Polis tunggu panggilan penculik

Polis Sabah mula siasatan kes culik

Nelayan diculik bukan rakyat Malaysia [METROTV]

10 nelayan diculik?

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 2:38 PM