LAPORAN portal Harian Metro mengenai rakaman video tular di laman sosial mendakwa warga emas yang menghuni pusat jagaan di Seremban dipercayai didera.
Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@nstp.com.my


SIASATAN Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati tiada bukti penderaan dilakukan terhadap 12 penghuni pusat jagaan warga emas di Seremban 3, Negeri Sembilan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sebelum ini juga pihak JKM sudah menerima dua aduan berkaitan dakwaan berlaku penderaan di pusat jagaan terbabit.

“Pemeriksaan dilakukan JKM, tapi tiada bukti (penderaan), malah pihak hospital juga menjalankan pemeriksaan terhadap penghuni, juga tiada bukti berlaku penderaan, cuma mereka (warga emas) ada penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Masalah dengan pusat jagaan ini mereka tidak berdaftar dengan JKM, kerana itu ia perlu ditutup,” katanya kepada pemberita di Program Berjalan Santai dan Plogging Bersama Timbalan Perdana Menteri di Puitrajaya, hari ini.


DR WAN Azizah mengutip sampah pada Program Brisk Walk di Dataran Putra. FOTO Luqman Hakim Zubir

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, dalam proses penutupan pusat jagaan itu, warga emas terbabit akan dijaga keluarga masing-masing.

“Kita mahu warga emas ini ada tempat tinggal yang selamat, jadi kita minta keluarga mengambil mereka semula,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, beliau juga turut menerima laporan bahawa pekerja di pusat jagaan itu diberhentikan kerja oleh majikan.

“Mungkin kerana itu mereka rasa kurang gembira dan kemudian (dakwa) berlaku kejadian itu (dera),” katanya

Beliau berkata, perkara berkenaan tidak akan menjadi isu sekiranya pusat jagaan terbabit mematuhi peraturan ditetapkan JKM.

Isnin lalu, tular di laman sosial rakaman video menunjukkan warga emas yang menghuni sebuah pusat jagaan di Seremban dipercayai didera seorang penyelia pusat jagaan berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Rakaman video penyelia pusat jagaan warga emas itu dipercayai mempermainkan penghuninya turut tersebar di Facebook.

Melalui mesej yang tular itu, warga emas yang menghuni pusat jagaan berkenaan didakwa dipaksa minum air kencing, makan cili dan diberi ubat tidur secara berlebihan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 7:41 PM