Sekolah sekitar Taman Mawar yang terjejas dengan pencemaran udara diminta berjaga-jaga. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


JABATAN Pendidikan Negeri (JPN) Johor meminta sekolah berhampiran Taman Mawar, Pasir Gudang mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan akibat pencemaran udara.

Pengarahnya Azman Adnan berkata, langkah itu diambil berikutan simptom muntah, pening kepala dan loya dialami murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4 pada sesi persekolahan petang semalam.

“Dalam kejadian itu, semua murid terbabit dibawa ke pusat rawatan sementara di Sekolah Agama Taman Mawar dan dibenarkan pulang ke rumah selepas menerima rawatan di situ.

“Sebagai langkah pencegahan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang memastikan semua sekolah di kawasan berhampiran mengambil langkah berjaga-jaga kesan kualiti udara di situ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PPD akan terus memantau keadaan semasa dan menunggu tindakan susulan pihak berkuasa.

“Kami juga mengambil maklum keadaan kualiti udara di kawasan sekitar sekolah yang menunjukkan bacaan selamat dan ia sebagaimana dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 7:26 PM