KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber.

JURUTOL wanita di plaza Tol Ayer Keroh, di Alor Gajah, terpaksa dikejarkan ke Hospital Melaka akibat tersepit selepas pondok tol dirempuh sebuah treler yang membawa muatan sel sawit seberat 28 tan, hari ini.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, mangsa berusia 40-an sedang bertugas dalam pondok tol di lorong paling kiri, sebelum treler yang dalam perjalanan dari Tangkak, Johor ke Jeti Tanjung Beruas, Melaka, merempuh pondok terbabit ketika memasuki lorong kedua kedua kiri.

Pemandu treler R Murali, 50, berkata, dia pada mulanya tidak menyedari bahagian badan treler dipandunya itu tersangkut di pondok tol terbabit sebelum terdengar dentuman kuat.

Menurutnya, dia melalui lorong tersebut selepas melihat lorong paling kiri begitu panjang dengan kenderaan lain, malah menurutnya dia bukan kali pertama menggunakan lorong berkenaan dengan saiz kenderaan serta muatan yang sama.

“Nasib tidak menyebelahi saya apabila bahagian tengah treler tersangkut lalu menyebabkan bahagian tepi pondok tol bergesel.

“Saya cepat-cepat turun dari lori dan membantu mengeluarkan pekerja tol terbabit yang tersepit dalam pondok, ketika itu mangsa sedang menjerit kesakitan dan menangis,” katanya. Tambahnya, wanita yang dipercayai mengalami kecederaan tulang rusuk itu dipapah olehnya ke tempat selamat sebelum bantuan kecemasan tiba dan menghantar mangsa ke hospital.

Murali berkata, selama lebih 20 tahun bergelar pemandu treler, dia tidak pernah berdepan insiden seperti itu dan menganggapnya sebagai pengajaran untuk kepada diri serta pemandu kenderaan berat lain untuk lebih berhati-hati.

“Sebenarnya sebelum sampai di Tol Ayer Keroh saya disaman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas kesalahan tayar botak tapi bila tiba di Melaka lain pula yang berlaku,” katanya, yang menetap di Banda Hilir, Melaka.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Mohd Hamdan Sudin berkata, jentera EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Unit EMRS menghantar mangsa wanita Morhana Saman, 48, ke Hospital Melaka selepas mengadu sakit di bahagian pinggang. Tindakan awal memakaikan Cevicial Coller kepadanya dibuat kerana bimbang berlaku kecederaan di bahagian leher,” katanya, ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, berkata, kejadian berlaku selepas pemandu lori membuat bayaran tol.

“Sebaik bergerak, bahagian badan lori terlanggar pondok plaza tol menyebabkan plaza tol roboh terkena mangsa yang mengalami kecederaan pinggang,” katanya, ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 5:05 PM