ANTARA GRO yang dibawa ke mahkamah. FOTO Muhaizan Yahya
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


PEMILIK pusat hiburan didakwa di Mahkamah Majistret Taiping, hari ini, atas dua pertuduhan iaitu mengambil pekerja warga asing tanpa permit dan membenarkan pelanggan bawah 18 tahun memasuki pusat hiburan miliknya, 7 Jun lalu.

Turut dituduh seramai 38 pelayan pelanggan (GRO) warga Thailand termasuk dua China berusia antara 22 hingga 35 tahun yang bekerja di premis berkenaan atas kesalahan bekerja tanpa permit yang sah serta tinggal lebih masa di negara ini.

Tertuduh, Ng Meng Kuan, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan pertama dan mengaku bersalah bagi pertuduhan kedua selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret, Mohd Hairol Jemain.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mengambil kerja 14 wanita warga Thailand serta dua wanita China tanpa memiliki pas atau permit yang sah dan didakwa mengikut Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 12 tahun atau kedua-duanya bagi setiap warga asing yang diambil bekerja.

Bagi pertuduhan kedua, Meng Kuan didakwa sebagai pemilik pusat hiburan yang dikeluarkan lesen mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 1997 dengan melanggar syarat iaitu membenarkan kanak-kanak bawah umur 18 tahun memasuki pusat hiburan.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 11(1) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 1977 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukannya di Pusat Hiburan De Heritage No 2A, 6, 8 dan 10 Lorong Kilang 3B, Kawasan Perindustrian Ringan Taiping, antara 7.30 hingga 11.45 malam, 7 Jun lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Raihan Rithwan manakala tertuduh termasuk 38 GRO warga asing diwakili peguam Mohamad Izwan Ishak dan Kelvin Tan.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Hairol membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Julai ini sebagai sebutan semula kes.

Bagi pertuduhan kedua pula, Mei Kuan dijatuhi hukuman denda RM2,000 dan jika gagal bayar bakal berdepan hukuman penjara selama empat bulan.

Sementara itu, 34 dari 38 GRO berkenaan mengaku bersalah atas pertuduhan melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja sebagai tukang urut di premis berkenaan dan dijatuhi hukuman denda RM700 setiap seorang dan jika gagal bayar tiga bulan penjara.

Tiga dari GRO warga Thailand pula mengaku tidak bersalah atas kesalahan berkenaan sebelum dibenarkan jamin sebanyak RM2,500 dengan dua penjamin warga Malaysia dan sebutan semula kes pada 22 Julai ini.

Seorang dari GRO warga Thailand pula mengaku bersalah atas kesalahan tinggal lebih masa di negara ini dan dijatuhkan hukuman denda RM10,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 4:47 PM